PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan 2,000 unit rumah di bawah inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia) yang memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah tambahan 1,000 lagi unit rumah berbanding perancangan awal sebagai permulaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum, RM124 sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.
Menurut beliau, Rumah Ikram menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan, sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah tinggi.
Beliau berkata, begitu juga ada yang terdesak menumpang di rumah saudara-mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa terutama mereka yang terkesan akibat Covid-19 dalam semangat Keluarga Malaysia.
“Rumah Ikram Keluarga Malaysia adalah satu inisiatif tepat pada masanya dan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat memerlukan,” katanya dalam pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau memahami 1,000 unit rumah di 11 kawasan projek perumahan rakyat (PPR) yang berada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT tidak mencukupi untuk menjadi tempat berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian.
Beliau menjelaskan, ini kerana 139 projek PPR lain telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
“Justeru, setelah perbincangan antara KPKT dan Pihak Berkuasa Negeri, sukacita saya umumkan Rumah Ikram Keluarga Malaysia akan ditambah kepada 2,000 unit,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima.
Beliau menjelaskan, pengecualian bayaran sewa itu ditanggung kerajaan dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membolehkan penerima manfaat, khususnya ketua isi rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga.
Perdana Menteri pada masa sama berkata, kerajaan tidak meminggirkan penghuni sedia ada di kawasan PPR, justeru program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT, akan diteruskan sehingga akhir tahun 2022.
“Insya-Allah, langkah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR, dengan melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif dan usaha kerajaan akan diusahakan demi Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat bakal menggariskan hala tuju dan pendekatan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia diberi keutamaan.
Beliau berkata, Agenda Perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.
Jelas Perdana Menteri, program-program kediaman mampu milik seperti PPR, Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh.
“Saya yakin, KPKT akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program-program perumahan ini agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat, malah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, kita juga akan membantu golongan rentan serta golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni,” katanya. – UTUSAN ONLINE