GEORGETOWN: Polis menyerbu sebuah kondominium mewah yang dijadikan sebagai kasino mini bagi menjalankan kegiatan perjudian secara haram di Bayan Lepas, dekat sini semalam.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah negeri menerusi Op Dadu kira-kira pukul 3.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, seramai 13 individu dipercayai penganjur dan pemain ditahan ketika sedang leka bertaruh.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita berusia di antara 31 hingga 69 tahun.
“Sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah tersebut sejak pertengahan bulan ini dan menjalankan kegiatan perjudian sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam setiap hari.
“Mereka dipercayai menawakan aktiviti perjudian kepada kenalan rapat bagi mengelak aktiviti dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh beroperasi kira-kira dua minggu.
Menurutnya, semasa serbuan polis merampas wang tunai sebanyak RM13,200 serta beberapa peralatan bermain judi seperti sejumlah cip pelbagai warna, monitor komputer, daun terup, meja dan kerusi plastik
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE