KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid akhirnya dapat pulang ke Singapura pada 27 Julai lalu selepas 13 bulan terpisah dengan ahli keluarga kerana Covid-19 dan terikat dengan komitmen kerjaya seni.
Bagaimanapun, Hisyam hanya dapat bertemu keluarganya pada 10 Ogos lalu selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di sebuah hotel.
“Rindu yang tidak terbendung akhirnya dapat dilepaskan. Bayangkan kerana situasi tidak terduga ini, saya juga buat kali pertama sambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka.
“Kepulangan saya ini juga dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-15 dengan isteri, Melrose Hanafi dalam sebuah sesi makan berdua di sebuah restoran. Moga perkahwinan kami akan kekal sampai syurga,” katanya.
Malah, pelakon popular drama Ariana Rose di TV3 itu juga berkata, dia cuba memanfaatkan kesempatan yang ada itu sebaik mungkin.
“Setiap hari ada saja aktiviti dilakukan bersama dan cuba selit masa jumpa kawan-kawan. Rutin harian saya kini selepas bangun Subuh, hantar anak (Nurish Syameliah dan Hayden) ke sekolah.
“Selepas itu, saya berjoging dan tengah hari jemput semula anak dari sekolah. Kalau ada masa juga, saya akan bantu isteri menguruskan jualan barangannya di butik.
“Malah saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Khidmat penghantaran barangan jualan pun sesekali saya buat,” katanya.
Ketika ini Hisyam berkata, dia masih menunggu isyarat daripada stesen TV3 dan produksi drama Cukup Derita Itu yang “tergantung” akibat sekatan pergerakan penuh Jun lalu.
Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran untuk episod 21 hingga 40 belum bermula lagi hingga kini.