BATU PAHAT: Sebanyak 12 tan metrik baja kompos sisa makanan dihasilkan melalui Projek Perintis Pengkomposan antara SWM Environment Sdn. Bhd. dengan penduduk setempat di dua buah taman perumahan, di sini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program dilaksanakan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama pihaknya itu diadakan sejak Februari lalu.
Katanya, melalui program berkenaan, sisa makanan yang dikompos dijadikan baja dan diedarkan kepada komuniti setempat bagi kegunaan pelbagai jenis tanaman.
“Ia melibatkan komuniti antara penduduk dan peniaga di Taman Universiti serta Taman Pura Kencana. Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama erat pelbagai pihak dalam membentuk inisiatif kelestarian alam sekitar.
“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, malah berupaya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar seperti penghasilan gas karbon dan metana, air lelehan sampah atau air larut resap dari sisa pepejal serta pencemaran bahan kimia semasa proses penguraian sisa pepejal,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Norlisam, cabaran utama menghasilkan projek perintis itu adalah kesukaran mengasingkan sisa makanan daripada sisa buangan lain yang bercampur-aduk sehingga terpaksa diasingkan semula mengikut kaedah manual.
“Selain itu, faktor cuaca juga memberikan kesan apabila menjejaskan kualiti sisa makanan untuk dijadikan baja kompos. Bagaimanapun kita harapkan agar kejayaan projek perintis ini dapat mengubah gaya hidup masyarakat untuk mengkompos sampah bagi mengurangkan pencemaran. – UTUSAN ONLINE