Zaliman dilantik Naib Canselor UniMAP - Utusan Malaysia

Zaliman dilantik Naib Canselor UniMAP

PROF DR. ZALIMAN SAULI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Prof Dr. Zaliman Sauli dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baharu, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Prof Dr. R. Badlishah Ahmad yang menerajui UniMAP selama hampir dua tahun sejak 2019.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan, Zaliman, 54, memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik daripada Universiti Teknologi Malaysia, MSc. in Advanced Semiconductor Materials and Devices dari University Of Surrey, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Mikroelektronik dari Universiti Malaysia Perlis pada tahun 2012.

KPT berkata, bersesuaian dengan pengalamannya dalam pelbagai portfolio, beliau menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan serta memperkasa staf akademik melalui kelayakan profesional dan pengalaman industri.

“Beliau juga mendapatkan pengiktirafan bagi kursus akademik yang dilaksanakan oleh universiti menerusi SETARA, QS World University Subject Ranking dan THE World University Ranking,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPT, Zaliman turut terlibat dalam mempergiat aktiviti penjanaan pendapatan universiti bagi memastikan kelestarian kewangan dan melaksanakan program berimpak melibatkan universiti dan komuniti melalui konsep universiti untuk masyarakat (unimap4society).

Katanya, pengalaman dan kepakaran beliau juga diiktiraf melalui kepercayaan menerajui pelbagai persatuan dan majlis seperti Pengerusi IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter 2009-2010 Session, Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti Awam, Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam dan Pengerusi Sekretariat Majlis PALAPES Universiti Awam.

“Zaliman juga menganggotai beberapa pertubuhan dan badan profesional seperti Malaysia Board of Technologist, Institution of Engineering & Technology, Malaysian Association of Solid State, Institute of Physics dan Society of Photo-Optical Instrumentation Engineers,” jelasnya.

KPT berkata, pihaknya percaya bahawa Zaliman mampu untuk menggalas tanggungjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UniMAP dengan visi menerajuinya sebagai sebuah universiti teknikal berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan dan melahirkan graduan holistik.

Pada masa sama, KPT menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada R. Badlishah Ahmad atas jasa bakti beliau menerajui UniMAP sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN