ARAU: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menyumbang sebanyak RM4,000 kepada pemain bola sepak cilik dari Beseri, Uzzair Zayyan Naimulddin, 12, yang akan menyertai Akademi Bola Sepak Cruzeiro Brazil – British International School Phuket (BISP) di Thailand pada bulan ini.
Pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong, yang menerima biasiswa sukan bola sepak bernilai RM120,000 setahun kendalian Cruzeiro Football Academy Brazil itu akan berangkat ke Thailand hari ini untuk menjalankan kuarantin di Bangkok dan Phuket sebelum mendaftar masuk pada 23 Ogos.
Sumbangan YTSP Perlis dengan kerjasama Datuk Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Redzuan Abd Rahman, Nizam Sani dan Permata Trans Offshore Sdn. Bhd. tersebut disampaikan oleh anakanda kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail di Padang New Trafford, Istana Arau di sini semalam.
Syed Sirajuddin Areeb Putra turut mengurniakan jersi Istana FC Juniors sebagai tanda penghargaan dan sokongan selain memberikan motivasi kepada pelajar tersebut untuk mengharumkan nama Perlis.
Uzzair Zayyan bakal berlatih bersama-sama pemain negara lain di akademi berkenaan dan mampu menyerlahkan lagi bakatnya serta mendalami ilmu yang diberikan agar menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya suatu hari nanti.
Selain itu, Syed Sirajuddin Areeb Putra yang berkongsi minat sama dalam sukan bola sepak, begitu berbangga dengan pencapaian Uzzair Zayyan yang membawa nama Perlis ke peringkat antarabangsa dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Sementara itu, Uzzair Zayyan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan akan menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya semasa berada di akademi tersebut.
“Memang rasa sedih untuk meninggalkan ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan di sini tetapi saya akan terus bersemangat untuk berlatih di BISP.
“Persiapan yang saya lakukan termasuklah memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dan latihan bersama Akademi Tunas di sini sebelum berangkat ke Phuket,” katanya.