SHAH ALAM: Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadang mewujudkan jawatankuasa khas bagi memberi ruang kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan pandangan dan hasrat dengan lebih berkesan.
Perkara itu dicadangkan Persatuan Usrah Kebajikan Professional Malaysia (UKP) supaya kerajaan menubuhkan Majlis Musyawarah Rakyat (MESRA) yang dianggotai oleh wakil-wakil NGO.
Antara NGO yang disarankan untuk menganggotai jawatankuasa itu adalah, pemimpin mahasiswa, tokoh bebas agama, wakil masjid, wakil seniman dan artis, Majlis Dakwah Negara, dewan perniagaan pelbagai peringkat, persatuan pendidikan, persatuan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Presiden UKP Malaysia, Dr. Mohd. Huzairi Husain, kewujudan jawatankuasa itu diharapkan suhu politik boleh diredakan dengan kesatuan hati dan kesabaran semua pihak apabila meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Bila tiba masanya mandat akan diserah semula kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka secara telus dan harmoni. Sesungguhnya rakyat sedang memerhati dan menilai antara kaca dan permata.
“UKP Malaysia sebagai NGO yang dianggotai ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang bersedia memberikan sumbangan bagi mendukung dan memperkasakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri apabila mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan selepas mengakui kehilangan majoriti.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Ahli Parlimen Bera itu hadir ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, Mohd. Huzairi memaklumkan pihaknya merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka dan seluruh Raja-raja Melayu dalam menangani krisis politik dan keputusan berhikmah yang diambil bagi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia tercinta.
Katanya, UKP Malaysia turut mendoakan Ismail Sabri dan anggota Kabinet yang bakal dibentuk sentiasa bimbingan, ilham dan iltizam yang padu dalam menjalankan amanah besar oleh Allah SWT.