Warga Thailand edar dadah berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Warga Thailand edar dadah berdepan hukuman gantung

TERTUDUH, Alwa Nado (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan ganja di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki warga Thailand berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2.149 kilogram dan ganja seberat 1.972 kilogram di sebuah rumah di Kampung Kolam, Padang Besar pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Alwa Nado, 33, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2.149 kilogram di sebuah rumah di Kampung Kolam, Padang Besar kira-kira pukul 2.45 petang pada 17 Ogos lalu.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 1.972 kilogram pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 November depan untuk serahan laporan kimia.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dan ganja yang menyembunyikan bahan terlarang tersebut di dalam tanah susulan penahanan empat suspek termasuk pasangan suami isteri dan dua warga Thailand.

Sindiket yang dikenali sebagai Kumpulan Wa tersebut menanam dadah yang diperoleh melalui aktiviti penyeludupan di lorong-lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand, di belakang rumah dan ditutup dengan atap zink.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya