Warga Thailand didenda RM7,000 cuba rasuah anggota PGA

Warga Thailand didenda RM7,000 cuba rasuah anggota PGA

SEORANG lelaki warga Thailand (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas didenda RM7,000 kerana cuba merasuah anggota polis di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki warga Thailand didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba merasuah anggota polis berpangkat koperal sebagai dorongan melepaskannya kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah, April lalu.

Tertuduh, Phuwanai Ruangmanee, 30, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa dalam bahasa Thailand di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh cuba menawarkan suapan iaitu wang sebanyak RM4,800 kepada seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Shahrizuan Zolkefli sebagai balasan melepaskannya atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana berada di Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan tersebut dilakukan di ladang getah KTJ Komtak B Pos C26, Padang Besar kira-kira pukul 11.30 malam, 23 April lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 1/4 daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlina B. Khasim dan tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Azlina meminta hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana perbuataannya memberi rasuah adalah suatu perkara yang serius.

Manakala Syed Muhammad Anwar merayu agar hukuman tidak terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama tertuduh yang juga bekerja sebagai buruh kampung selain sudah menyesal dengan tindakannya itu.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Ibrahim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membuat pembayaran.

Sementara itu, wang tunai RM4,800 yang cuba disogok kepada anggota polis tersebut dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia. 

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut dan dilepaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya