BERA: Sebutir bom peninggalan Perang Dunia Kedua yang diletupkan di lokasi asal ditemukan di kawasan ladang Felda Triang 1 di sini pada pukul 11.53 pagi ini menggegarkan tanah rancangan itu.
Letupan bom buatan British seberat 226 kilogram itu boleh didengari dalam jarak lebih tiga kilometer dan ia mengejutkan ramai penduduk di situ.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan rumah atau cermin kenderaan rosak impak gegaran bom jenis UXO Arial sepanjang 0.9 meter tersebut.
VIDEO dirakam penduduk menyaksikan gegaran kuat selepas bom era Perang Dunia Kedua diletupkan di Felda Triang 1 di Bera, Pahang. – VIDEO/IHSAN PENDUDUK
Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, operasi meletupkan bom itu dilakukan kepakaran unit pemusnah bom dari Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Menurutnya, seramai 30 pegawai dan anggota termasuk dari Ibu pejabat Daerah (IPD) Bera dan Temerloh dikerah bagi menjayakan misi meletupkan seperti berkaitan logistik dan keselamatan.
Tambah beliau, pihaknya menggunakan kaedah ‘membelah’ bom itu dan menggali parit serta membuat benteng guni pasir bagi mengurangkan impak gegaran.
“Operasi meletupkan bom bermula pukul 11.15 pagi dengan membelah bom itu dan letupan sebenar yang mengeluarkan gegaran kuat pada pukul 11.53 pagi,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Rafee berkata, penduduk tidak perlu bimbang jika menemukan bom lama, jangan disentuh dan segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintenden Mansor Samsudin berkata, bom jenis UXO Arial itu ditemukan di ladang Felda Triang 1 pada 2 Ogos lalu, kira-kira pukul 3.30 petang.
Beliau berkata, bom itu ditemukan seorang lelaki yang sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan ladang sawit belakang rumahnya.