SEGAMAT: Gelagat seorang lelaki yang mengenakan kostum karakter ‘hantu Cina’ ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna di Jalan Genuang, di sini, semalam menarik perhatian ramai.
Warga Segamat yang berada di dewan tersebut teruja hingga ada yang mengambil peluang untuk bergambar dengannya.
Sin Chong Yie, 35, bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan nyawa untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.
“Kostum ini saya beli secara dalam talian dan menerimanya melalui penghantaran pos dua hari lalu. Baju, seluar, penutup kepala selain wang kertas tiruan itu dibeli dengan harga RM30.
SIN Chong Yie ‘beraksi’ ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Serbaguna di Jalan Genuang, Segamat.
“Saya berani memakai kostum itu pada hari siang namun tidak berani memakainya sewaktu malam kerana takut juga,” katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Bukit Siput, di sini hari ini.
Chong Yie yang merupakan seorang penghantar makanan dan masih bujang itu turut berharap negara dapat bebas segera daripada Covid-19 dengan usaha pengambilan vaksin.
Menurutnya, dia mendapat panggilan janji temu vaksin seminggu lalu dan mengambil keputusan untuk memakai kostum itu setelah mendapat kebenaran pihak PPV terlebih dahulu.
Jelasnya, pada mulanya dia tidak tahu gimik apa yang hendak dilakukan untuk menghiburkan petugas barisan hadapan sebelum teringat cerita komedi seram legenda Cina di kaca televisyen dahulu dan hanya berniat untuk menceriakan orang ramai yang menerima vaksin.
“Proses bagi suntikan pertama vaksin pada pukul 3 petang itu berjalan dengan lancar dan akan melakukan gimik lain untuk vaksinasi kedua pada 9 September nanti. Tunggulah kejutannya nanti,” kongsinya.