“Untuk ke depan ini tanpa dia, jadi yang berat itu hanyalah rindu…” - Shuib - Utusan Malaysia

“Untuk ke depan ini tanpa dia, jadi yang berat itu hanyalah rindu…” – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan, Shuib cuba menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa keberadaan isteri tersayang di sisinya sejak pemergian awal pagi Isnin.

Luah Shuib pada majlis tahlil malam semalam, cabaran selepas ini mungkin tentang anak-anak tetapi apa yang lebih berat baginya adalah merindui pasangan yang sudah tiada.

“Anak-anak dapat menerima tapi pasti naluri seorang anak bila teringat seorang ibu akan menangis. Jadi saya sedikit koyak (sedih) di situ, tapi Insya-Allah perjalanan itu saya harap Allah permudahkan.

“Ini hari pertama saya menjalani kehidupan tanpa isteri. Saya sudah terima hakikat itu. Saya harap Allah dapat bimbing hati saya perlahan-lahan terima keadaan ini.

“Merindui pasangan itu sangat berat, lagi pula cinta saya dengan dia sangat unik, kami buat semua sama-sama. Untuk ke depan ini tanpa dia, jadi yang berat itu hanyalah rindu,” luahnya dengan tenang.

Sebagai seorang suami, katanya, dia mengagumi dan bangga dengan Allahyarham Siti Sarah yang perginya pula meninggalkan kesan kepada semua orang.

“Saya nampak kesan pada semua orang adalah tentang kasih sayang. Contoh, lihat saja kita dapat berkumpul malam ini hampir 600 orang.

“Jutaan terima kasih sekali lagi kerana semua orang telah berusaha dan meletakkan kebimbangan di sepanjang dua ke tiga hari lalu bagi satu tujuan.

“Kita cuba mencari kemenangan tetapi tidak berpihak sebab kita cuba merebut sesuatu bukan milik kita. Dia sudah pulang ke pangkuan-Nya, Wallahualam mungkin dia terlalu istimewa di sisi-Nya,” tuturnya.

Untuk rekod, awal pagi Isnin, penyanyi Kesetiaan, telah menghembuskan nafas terakhirnya tepat pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas berperang nyawa melawan jangkitan Covid-19.

Kemudian, jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan selepas waktu Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Penyanyi Kesetiaan yang berkongsi hidup bersama pilihan hati, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad hampir 11 tahun itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, Ayash Affan, (usia pramatang lapan bulan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya