KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pendaftaran umur mengundi 18 tahun tidak seharusnya dilengah-lengahkan meskipun negara berdepan dengan situasi Covid-19.
Peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berhujah, pandemik yang melanda negara tidak boleh digunakan sebagai alasan menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun kerana pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian.
Beliau menghujahkan, jika pendaftaran tidak boleh dijalankan secara maya, pengundi-pengundi yang mencapai usia 18 tahun masih boleh melakukannya di pejabat pos.
Hujah beliau, pendaftaran pemilih secara automatik (AVR) perlu dipercepatkan bagi membolehkan pengundi muda melaksanakan haknya jika pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa ekoran ketidaktentuan hala tuju politik negara dalam tempoh tiga tahun.
Gurdial berhujah, kerajaan sebelum ini mengumumkan proses AVR dijangka dapat dilaksanakan bulan lalu iaitu dalam tempoh dua tahun selepas pindaan undang-undang diluluskan pada 25 Julai 2019.
Sehubungan itu hujahnya, penangguhan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan situasi yang tidak munasabah kerana ia menafikan hak anak-anak muda untuk mengundi, sedangkan mereka layak dinamakan sebagai calon pilihan raya pada usia 18 tahun.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk S. Ambiga berhujah, kerajaan perlu mengotakan janji supaya golongan anak muda yang mencapai usia minimum 18 tahun diberi hak untuk mengundi selaras dengan pindaan undang-undang.
Beliau berhujah, sekumpulan anak muda tersebut merupakan pihak yang terkesan dengan keputusan kerajaan menangguhkan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, walhal ia telah diluluskan oleh Parlimen.
Hujahnya, tindakan SPR menggunakan alasan Covid-19 untuk melambat-lambatkan proses pendaftaran sedangkan agensi itu mengaku telah bersedia melaksanakannya, merupakan sesuatu yang memalukan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan berhujah, kerajaan tetap mengotakan janjinya apabila sistem pendaftaran sudah bersedia.
SFC Raja Shahril Anuar Raja Baniamin turut menghujahkan, Covid-19 bukan penyebab kepada penangguhan AVR kerana banyak faktor lain turut diambil kira termasuk interaksi secara fizikal dan pengumpulan maklumat di lapangan, bukan semuanya boleh dijalankan secara maya.
Dalam pada itu, SFC Azizan Md. Arshad menjelaskan, pindaan undang-undang mengambil masa dua tahun untuk diluluskan kerana banyak perkara perlu dirujuk dan SPR terhalang daripada mendedahkannya kepada orang awam.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 21 Oktober ini bagi keputusan.
Mahkamah sedang mendengar permohonan semakan kehakiman 18 anak muda bagi mendapat perisytiharan agar Undi 18 dijalankan secara automatik.
Pada 2 April lalu, sekumpulan belia yang mewakili Gerakan Undi18 memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapat beberapa perintah mahkamah susulan tindakan penangguhan pelaksanaan Undi 18.
Mereka menamakan Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden-responden.
Pemohon-pemohon merupakan sebahagian daripada Gerakan Undi 18 dan terlibat dalam pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung penurunan had umur mengundi minimum.
Mereka menuntut perisytiharan mahkamah bahawa individu berumur 18 ke 20 menjelang Julai ini, diberikan hak mengundi.
Penangguhan itu menyebabkan 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun tidak dapat mengundi jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.
Pada 25 Mac lalu, SPR dalam satu kenyataan media menyatakan hak mengundi automatik dan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran cabaran yang dihadapi oleh SPR ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).