UMNO desak Muhyiddin letak jawatan - Utusan Malaysia

UMNO desak Muhyiddin letak jawatan

AHMAD ZAHID HAMIDI dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dengan alasan kerajaan pimpinan beliau mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.

Desakan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi UMNO selesai mengadakan mesyuarat secara maya dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO memilih mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Berikut adalah kenyataan penuh Ahmad Zahid:

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September
2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di- Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
3 Ogos 2021

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya