PETALING JAYA: Pertukaran kelas dari 97 kilogram (kg) kepada 102kg nyata membuahkan hasil positif buat atlet Jong Yee Khie apabila meraih pingat perak buat Malaysia dalam acara powerlifting di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Dia yang sebelum ini bersaing dalam kategori 97kg mengakui sukar untuk beraksi konsisten dan jurulatihnya, Jamil Adam mengambil keputusan untuk mengubah kategorinya.
“Tahun ini baru mula kategori ini, saya dapat rasa peluang lebih tinggi di sini selain ada tenaga lebih untuk melakukan angkatan.
“Untuk Paris 2024, saya akan cuba lakukan lebih baik untuk meraih pingat emas.
“Memang saya fokus emas di sini tetapi dapat perak pun saya gembira kerana ini pingat pertama saya di Sukan Paralimpik selepoas dua kali mencuba,” katanya yang akan beraksi di Kejohanan Dunia pada November ini.
Dalam saingan itu, atlet negara berusia 33 tahun berjaya melakukan angkatan seberat 237kg walaupun pada awalnya gagal melakukan angkatan 230 kg.
Yee Khie kemudian cuba mengangkat 245kg bagi mengatasi catatan peribadinya terbaiknya musim ini iaitu 239kg namun tidak berupaya melakukannya.
Pingat emas menjadi milik atlet Mongolia, Enkhbayar Sodnompiljee apabila mencatat rekod baharu Sukan Paralimpik apabila berjaya melakukan angkatan 248kg.
Atlet Iran, Saman Razi yang dijangka memberi tentangan pada saingan itu terpaksa berpuas hati meraih pingat gangsa dengan angkatan 231kg.