PUTRAJAYA: Sebagai simbolik memulakan tugas rasmi, sekurang-kurangnya tujuh menteri yang menganggotai Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di kementerian masing-masing di sini esok.
Antara menteri yang mengadakan sesi clock-in itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Setia Perdana seawal pukul 7.30 pagi.
Menerusi jemputan yang diedarkan kepada media, turut memulakan tugas ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang dijadual memasuki pejabat pada pukul 7.45 pagi.
Ini diikuti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada pukul 8.15 pagi dan seterusnya mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet yang dijangka selesai pada pukul 12 tengah hari.
Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula melapor diri di kementerian itu pada pukul 8.15 pagi manakala Datuk Seri M. Saravanan yang kembali bertugas sebagai Menteri Sumber Manusia mengadakan clock-in pada pukul 2 petang.
Muka baharu yang kembali dalam pentadbiran kerajaan ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula akan menghadiri majlis serah tugas oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar terdahulu, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad pada pukul 3 petang.
Datuk Saifuddin Abdullah yang kembali ke portfolio beliau sebagai Menteri Luar Negeri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pula akan mengadakan sidang akhbar pertamanya secara hibrid (fizikal dan dalam talian) pada pukul 3 petang di Wisma Putra, Putrajaya.
Dalam pada itu, tumpuan juga terarah kepada sidang akhbar sulung Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dijadual berlangsung pada pukul 5.30 petang esok di Kementerian Kesihatan.
“Fokus sidang akhbar menteri adalah mengenai perkembangan terbaharu Covid-19 dan program vaksinasi,” menurut Kementerian Kesihatan.
Khairy sudah mengadakan sesi clock-in di Kementerian Kesihatan pada pukul 5.15 petang semalam selepas istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Negara.