TNB sumbang dua kontena mayat - Utusan Malaysia

TNB sumbang dua kontena mayat

MAHDZIR Khalid (tiga kanan) menyempurnakan gimik penyerahan dua kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 dan dua PAPR kepada Pengarah HSB, Dr. Zaiton Udin di HSB, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sumbangan sebanyak dua kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 di dua buah hospital di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dua buah hospital itu adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Selain itu menurutnya, syarikat milik kerajaan (GLC) tersebut turut menyumbangkan dua respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada HSB.

Katanya, keputusan untuk meluluskan sumbangan itu dibuat secepat mungkin bagi memenuhi keperluan di hospital tersebut.

“TNB dimaklumkan terdapat keperluan mendesak di kedua-dua hospital berkenaan untuk menempatkan mayat mangsa Covid-19 yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

“Justeru saya berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TNB untuk kita ambil tindakan segera iaitu dalam tempoh dua hari saja bagi menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan HSB dan HSAH sememangnya memerlukan kontena sejuk beku bagi menampung mayat pesakit Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo, keadaan peti mayat di hospital berkenaan ketika ini sentiasa penuh.

Mahdzir menambah, dua kontena dan dua PAPR tersebut bernilai RM165,000.

“Kami berharap sumbangan ini dapat menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi kedua-dua hospital tersebut.

“Dalam masa sama, sumbangan ini juga diharap dapat menghilangkan kegusaran orang ramai berkaitan pengurusan mayat mangsa Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya