PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap kualiti hidup wanita dan keluarga dapat ditingkatkan sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59.
Baginda bertitah bahawa sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ perlu dilihat dalam pelbagai perspektif antaranya masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.
“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) sempena Hari Wanita tahun ini, setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.
“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda dalam sambutan secara maya semalam.
Baginda juga berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.
Oleh itu, baginda menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.
Tunku Azizah juga bertitah bahawa petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.
“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN