PETALING JAYA: Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) menyokong penuh tindakan inisiatif yang diambil Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membuka kerjasama semua pihak dalam mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.
Presiden Pintar, Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, persefahaman rentas parti itu menunjukkan Perdana Menteri seorang pemimpin yang berjiwa besar dalam memikirkan soal kemajuan negara dan bukannya demi menjaga kepentingan peribadi.
“Gunakanlah peluang keterbukaan pihak kerajaan ini untuk memperteguhkan kembali pentadbiran negara, mengangkat kedudukan bangsa seluruhnya serta menyemarakkan Islam sebagai teras kepada perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut menggesa pemimpin parti-parti politik untuk kembali memberikan tumpuan kepada kemaslahatan rakyat dan bukannya berterusan melakukan gerakan politik untuk merampas kuasa, mengganti Perdana Menteri dan seumpamanya.
“Komitmen jelas Perdana Menteri yang telah dimaklumkan tempoh hari kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya pada sidang Parlimen pada September nanti sewajarnya dijadikan medan untuk menentukan keabsahan sokongan tersebut.
“Namun agak mengecewakan kerana terdapat pihak-pihak yang terus mendesak serta memberikan tekanan politik kepada kerajaan,” katanya.
Tambahnya, kemelut permasalahan politik sekarang bukanlah satu perkara yang baik untuk negara di mana kita melihat ia memberikan kesan kepada kestabilan dan juga usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menangani pandemik Covid-19.
“Rakyat sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpin politik ini yang saban hari memberi fokus perebutan kuasa, bukannya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, yang hilang pekerjaan dan ada yang tidak cukup makan disebabkan kehilangan punca pendapatan ketika ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pintar turut merayu agar Yang di-Pertuan Agong dapat campur tangan bagi menyekat pihak-pihak yang sentiasa ingin mendapatkan kuasa.
“Ada baiknya pihak istana bertindak selaku pendamai dengan menggalakkan perundingan untuk kestabilan kerajaan sehinggalah satu tempoh kita dapat menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan melakukan proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PUR-15),” katanya.