KUALA LUMPUR : Berbekalkan pengalaman yang meluas dalam bidang penyiaran radio, tiga penyampai terkenal, Halim Othman, Linda Onn dan Kudsia Kahar tampil mengubati kerinduan pendengar menerusi program Tiga Talk kelolaan ketiga-tiga mereka.
Menurut Halim, program bual bicara tersebut bagaimanapun cuma disiarkan menerusi platform Facebook Live memandangkan ini merupakan usaha mereka sendiri dan tidak membabitkan mana-mana stesen radio.
“Kami bertiga bermula bersama di radio Era dan ia menjadi sebahagian daripada sejarah dalam perjalanan karier kami. Platform terbaik pada waktu ini adalah menerusi media sosial dan kerana itu kami gunakannya untuk kembali menemani pendengar yang mungkin juga merindui suara kami ke udara.
“Menerusi Tiga talk ini juga menyaksikan pertama kalinya kami bergabung dalam sebuah rancangan bual bicara. Selama kami bekerja sebagai penyampai radio, tak pernah ada kesempatan itu dan tentunya ini adalah sangat istimewa buat kami,”katanya.
Halim berkata demikian semasa ditemui dalam sesi temubual secara virtual yang diadakan baru-baru ini bersama pihak media.
Sementara itu, menurut Kudsia pula, selain mengangkat pelbagai topik menarik dan isu semasa, Tiga Talk juga menyediakan ruang untuk pendengar untuk melepas geram atau tekanan yang terbuku di hati.
“Sebagaimana yang kita tahu, ramai pada waktu ini mengalami pelbagai tekanan akibat pandemik. Ada yang hilang kerja, tak ada sumber pendapatan dan mengalami macam-macam tekanan.
“Kami cuba mendengar luahan-luahan anda itu menerusi Tiga Talk. Cuma sesi ini akan berlangsung di aplikasi Clubhouse dan anda boleh mengikutinya di situ.
“Ini juga sebahagian daripada usaha kecil kami untuk membantu mereka di luar sana dengan menjadi pendengar dan cuba memberikan suntikan semangat buat semua yang mengalami tekanan. Segmen ini akan berlangsung sehinggalah pandemik ini sudah berakhir,”katanya.
Dalam pada itu, Kudsia melahirkan rasa gembira kerana Tiga Talk meski baru beberapa episod dimulakan, namun sudah meraih sejumlah kelompok peminat dan pendengar tersendiri.
“Sasaran kami adalah pendengar berusia 25 tahun ke atas. Bukan di Semenanjung sahaja, tetapi juga kepada semua pendengar dan penonton berbahasa Melayu di Asia Tenggara.
“Kami juga ada penonton dari Mesir, Amerika Syarikat (AS), Australia, Sweden dan Itali yang meminati program Tiga Talk,”katanya.
Tiga Talk bersiaran pada setiap Jumaat bermula pukul 9.30 malam sehingga 11 malam di Facebook Live manakala di platform Clubhouse pula pada pukul 9.30 malam setiap hari khamis.
Untuk siaran di Facebook Live, Tiga Talk juga menampilkan tetamu istimewa pada setiap minggu membabitkan artis, selebriti mahupun personaliti terkenal tanah air.