Tiga bulan tiada ‘job’ - Namron - Utusan Malaysia

Tiga bulan tiada ‘job’ – Namron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan perangkul gelaran Pengarah Filem Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia 2019, Namron, 52, mendedahkan dirinya sudah tiga bulan tidak mempunyai kerja lantaran kerajaan belum memberi kelonggaran kepada sektor perfileman dan penggambaran untuk beroperasi secara total.

Menurut Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdnan, tidak mempunyai kerja bukan bermakna dirinya tidak mahu bekerja selain kecewa dengan syarat kelonggaran yang diberikan kepada penggiat seni kreatif kini.

“Apabila perkara tersebut dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), bukan cuma saya, malah ramai lagi penggiat seni yang merasa ia tidak wajar. Semua orang nak kerja. Tapi kebenaran yang ada sekarang ini adalah bagi mereka yang terikat untuk menyambung penggambaran yang sebelum ini.

“Penggambaran yang baru tidak dibenarkan. Contoh macam saya, sepatutnya ada dua kerja penggambaran yang perlu saya buat bermula sekitar Jun lalu. Tapi terpaksa ditangguh lagi sebab syarat yang disebut tadi.

“Macam mana kita nak cari makan? Saya sudah hampir tiga bulan lebih tak ada kerja ini. Sebelum dapat tawaran itu, dua bulan juga saya tidak kerja sebab nak buat persediaan masuk ke set baru. Tapi apakan daya masih juga tak dapat buat,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, Namron juga melahirkan rasa kecewa kerana sektor seperti pusat membeli-belah, kilang dan pasar malam juga sudah dibenarkan beroperasi secara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) namun tidak terhadap sektor penggambaran.

Menurutnya, keadaan ini memperlihatkan seolah-olah industri penggambaran mampu mencetuskan sesebuah kluster sedangkan masing-masing sama ada pihak produksi, pelakon dan kru-kru bertugas sangat menjaga soal SOP.

“Ramai juga kalangan kami yang sudah mendapatkan suntikan vaksin dua dos. Itu juga yang dijanjikan oleh kerajaan, siapa yang sudah lengkap proses vaksinasi, boleh kembali bekerja dan bergerak melakukan aktiviti dengan SOP.

“Tapi sampai sekarang masih tak boleh lagi. Saya berharap pihak tertentu ambillah tindakan segera sebab semakin lama, semua antara kami ini berasa tertekan untuk menguruskan kelangsungan hidup.

“Apalagi buat kami yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga ini. Kita nak cari makan untuk keluarga,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia tahu wujud mana-mana produksi yang menjalankan penggambaran secara ‘haram’ pada waktu ini, Namron mengaku tidak tahu.

Pun begitu, seandainya berlaku perkara tersebut, kata Namron, dia yakin ramai kalangan penggiat seni sekarang berada dalam keadaan terdesak untuk kembali bekerja dan tidak menolak kemungkinan ada yang terpaksa berbuat demikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya