KUALA TERENGGANU: Tiga beradik perempuan di Kampung Bukit Depu di sini hanya mampu menangis melihat keadaan ibu mereka yang nazak sebelum wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, Ainin Syafina Abdullah, 16, bersama dua adiknya, Aleesya Annabella, 11, dan Adriana Maisarah, 5, bagaimanapun sempat membantu Emellia Mat Husin, 37, mengucap dua kalimah syahadah.
Menurut kakak sulung, Ainin Sofiya, 21, menjadi rutin harian adiknya untuk mengurut kaki dan badan ibu mereka pada setiap malam bagi melegakan kesakitan arwah sekali gus membolehkannya tidur lena.
Katanya, arwah merupakan ibu tunggal dan bekas pesakit kanser tiroid, namun tahap kesihatannya kurang baik dengan pelbagai komplikasi penyakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kerap keluar masuk hospital hingga terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya.
“Semasa kejadian cuma adik bongsu, Muhammad Hayat Irfan, 2, yang tidur manakala adik-adik lain berada bersama mama dengan Syafina tidak henti-henti mengurut kaki arwah yang tiba-tiba kejang.
“Arwah turut mengalirkan air mata menahan kesakitan dan adik-adik bertambah panik apabila muka mama bertukar warna sebelum tiba-tiba rebah meninggal dunia ketika duduk bersandar pada tilam,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Ainin Sofiya yang menetap di Kuala Lumpur berkata, pemergian ibunya hanya diketahui pada pukul 2 pagi selepas dihubungi adik dan dia bergegas pulang untuk menatap wajah insan tersayang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara di sini pagi ini.
Sementara itu, nenek mereka, Faridah Endut, 63, berkata, anak kelimanya itu baharu keluar hospital pada Khamis lalu dan arwah sempat membuat panggilan video meminta maaf seolah-olah tahu ajalnya sudah hampir.
“Kali terakhir Emellia hubungi saya sebelum solat Maghrib semalam dan dia beria-ia memujuk saya datang ke Terengganu walaupun saya mengatakan tidak cukup duit untuk membayar kos perjalanan dari Chenor, Pahang ke sini.
“Anak-anak arwah masih kecil dan tiada tempat bergantung, jadi mereka akan dibawa tinggal bersama saya di Pahang,” katanya.