SHAH ALAM: Tiga anggota polis masing-masing berpangkat lans koperal dan konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan secara bersama menerima rasuah wang tunai RM2,000, Jun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Taufik Abdul Aziz yang berpangkat lans koperal manakala Mohamad Fazli Norin dan Shahrul Norhan Sirhan masing-masing Konstabel turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Taufik, 31; Mohamad Fazli, 28; dan Shahrul Norhan, 26, dituduh dengan niat bersama memperoleh suatu suapan wang tunai sebanyak RM2,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan dilakukan iaitu menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini pada 25 Jun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan, ketiga-tiga tertuduh didakwa sebagai penjawat awam iaitu pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dengan niat bersama wang tunai berjumlah RM2,000 dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mana mereka mengetahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasmi untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan sepanjang tempoh PKP.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap setiap tertuduh selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguambela, Tham Weng Kin, Faizah K. Zaberi dan Azi Azlin Zulkifli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan masing-masing RM3,000 terhadap setiap tertuduh dengan alasan anak guam mereka mempunyai pendapatan yang rendah iaitu Mohamad Taufik sebanyak RM2,400 manakala dua lagi tertuduh dengan pendapatan RM1,400 sebulan.
Menurut Faizah, anak guamnya, Mohamad Fazli mula berkhidmat dengan PDRM pada tahun 2018 dan disahkan jawatan tetap setahun kemudian.
Tertuduh juga baru berkahwin tahun ini dan sedang mengikuti pengajian di semester empat peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia.
Azi Azlin yang mewakili Shahrul Norhan pula memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya baru berkhidmat dengan PDRM empat bulan lalu dan belum disahkan jawatan.
“Tertuduh ketiga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan dan baru bekerja empat bulan lalu.
“Dia juga merupakan anak sulung daripada lima beradik dan masih menanggung adik-adiknya yang masih bersekolah di Semporna, Sabah,” ujarnya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 13 September ini. – UTUSAN ONLINE