IPOH: Tiada peningkatan luar biasa kenderaan melalui sempadan negeri dan daerah di seluruh Perak sejak semalam, meskipun kelonggaran pergerakan diberikan kepada individu lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keadaan trafik terkawal itu menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat yang mengetahui risiko pergerakan tersebut jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Saya melihat masyarakat masih risau dengan statistik peningkatan kes jangkitan Covid-19. Ini mungkin menyebabkan mereka lebih berhati-hati, walaupun kelulusan telah diberikan pihak kerajaan.
“Ini sebenarnya petanda baik yang menunjukkan masyarakat kita bertanggungjawab dan tahu apa akibatnya jika tidak patuh kepada SOP,” katanya dalam sidang akhbar semasa meninjau Taman Meru 2B di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Menurut beliau, bermula semalam, pihaknya menerima sebanyak 1,338 permohonan rentas negeri dan daerah dengan 25 permohonan ditolak kerana mengemukakan alasan tidak munasabah.
Jelasnya, dalam tempoh sama juga, 19 individu dikenakan tindakan kompaun selain dua buah syarikat atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.
“Sepanjang tempoh fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Perak bermula 5 Julai lalu, kita telah menerima 68,464 permohonan rentas sempadan daerah dan negeri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66,885 permohonan diluluskan.
“Dalam tempoh sama, kita merekodkan pergerakan 1,176,879 buah kenderaan yang melalui SJR di seluruh negeri di mana 2,312 buah kenderaan telah diarah berpatah balik atas pelbagai kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE