SYDNEY: Rakyat Australia kesal apabila mengetahui atlet Paralimpik mereka tidak mendapat ganjaran sama rata seperti dinikmati atlet Olimpik negara itu yang meraih pingat di Tokyo.
Atlet Olimpik Australia yang memenangi emas menerima ganjaran wang tunai 20,000 dolar (RM83,000), perak 15,000 dolar (RM62,000) dan gangsa 10,000 dolar (RM41,900).
Menurut laporan SBS, atlet Paralimpik Australia langsung tidak menerima apa-apa habuan.
“Paralimpik Australia mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai dana untuk bonus pingat,” kata jurucakap media persatuan itu.
Sementara itu, atlet pecut Australia, Scott Reardon berkata, realitinya atlet para mendapat layanan berbeza.
“Dalam dunia sempurna, kami berharap kesaksamaan dalam sukan lelaki, wanita dan sukan Para,” katanya kepada SBS.
Turut melakukan perkara sama seperti Australia adalah Kanada yang tidak memberi sebarang imbuhan kepada atlet Paralimpiknya yang memenangi pingat.
Bagi New Zealand pula, mereka langsung tidak memberi ganjaran tunai sama ada kepada atlet Olimpik atau Paralimpik.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat, Malaysia dan beberapa negara lain memberi ganjaran kepada atlet Paralimpik sama seperti diterima atlet Olimpik mereka dan langkah itu yang disambut baik oleh banyak pihak.
Negara tuan rumah, Jepun memberikan 38,000 dolar (RM159,000) kepada atlet Paralimpik yang meraih emas, kurang 25,000 dolar (RM104,000) daripada atlet Olimpik yang meraih pingat sama.
CEO Physical Disability Council NSW, Serena Ovens, berkata kepada SBS, dia percaya di Australia kami masih lagi memandang orang kurang upaya sesuatu yang kurang penting.
“Kami menghargai atlet Olimpik tetapi masih tidak anggap atlet Paralimpik kami sudah mencapai tahap elit. Atlet Paralimpik turut bekerja keras untuk beraksi buat negara,” jelasnya.
Laporan itu, menyaksikan rakyat Australia melepaskan kemarahan mereka di media sosial selepas mengetahui atlet Paralimpik tidak mendapat ganjaran wang tunai, malah mendesak perubahan perlu dilakukan segera. – AGENSI