Terlibat aktiviti persundalan, wanita didenda RM4,000 - Utusan Malaysia

Terlibat aktiviti persundalan, wanita didenda RM4,000

SEORANG wanita dan seorang lelaki tiba di pekarangan Mahkamah Kuala Pilah bagi masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan terlibat dalam aktiviti persundalan di sebuah hotel di sini baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang wanita yang masih bujang didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat seks.

Tertuduh, Junaidah Michael Reni Martin, 31, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 1 Ogos lalu kira-kira pukul 11.50 pagi bertempat di sebuah bilik di Melang Inn Hotel, tertuduh mencari langganan bagi maksud persundalan.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan kerana melakukan persundalan.

Jika gagal membuat pembayaran, wanita berkenaan akan berhadapan dengan hukuman penjara lima bulan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’Atiqah Sapari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Seksyen di sini, seorang lelaki mengaku tidak bersalah menjadi orang tengah bagi persundalan ke atas Junaidah pada 1 Ogos kira-kira pukul 11.50 pagi bertempat di sebuah bilik di Melang Inn Hotel.

Tertuduh, Lim Kevin, 38, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim, Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372 (1)(f) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tempoh 15 tahun, sebatan dan denda.

Norma kemudiannya menawarkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes adalah pada 23 September ini.

Selain itu, Norma turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi dan dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Online pada 3 Ogos lalu melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Bagaimanapun, pelawak berkenaan tidak dihadapkan ke mahkamah kerana penahanannya hanyalah bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN