PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar membuat laporan polis berhubung mesej fitnah dan mengaibkan yang diterimanya dari individu tidak dikenali di Instagram (IG) baru-baru ini.
Linda, 43, mengakui tidak pasti mengapa individu tersebut secara tiba-tiba bertindak sedemikian namun tidak menolak jika individu itu menyimpan kebencian terhadap kerajaan.
“Saya ada kongsikan sebuah video menyayat hati tentang penyakit kanser yang dialami Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya sedih menonton video tersebut kerana anak saya meninggal dunia akibat kanser tahap empat.
“Selepas itu saya terus terima maki hamun daripada netizen. Mungkin anti kerajaan!,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Linda memberitahu, kejadian itu membuatkannya sukar bernafas dan terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Saya di hospital. Selepas vaksin badan menjadi kurang sihat. Apabila difitnah begini saya terus sukar bernafas dan segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.