KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Rozita Che Wan terkejut apabila rakan selebriti, Azwan Ali mengeluarkan kata kesat kepadanya menerusi ciapan di Twitter, semalam.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata, hubungannya dengan selebriti yang dikenali Diva AA itu baik-baik saja tapi dia menyifatkan sikapnya seperti musang berbulu ayam.
“Saya tidak tahu pasai pa (fasal apa) dia boleh tergamak tulis perkataan kesat kepada saya. Dalam tahun ini saja tiga kali kami jumpa, borak, ambil gambar, swafoto dan ada juga dia buat panggilan video.
“Untuk tahun ini, saya jadi tetamu undangan untuk Lagu Cinta Kita. Selepas itu kami ada terlibat penggambaran sama-sama dalam Pung Pang Rizalman Raya dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami ada lagi penggambaran program memasak untuk YouTube @rosixomar.
“Betullah kata orang kalau di depan mulutnya manis, balik belakang lain bicara! Tapi tidak sangkalah, kadang-kadang orang yang kita sudah lama kenal, yang kita rasa kita tidak ada masalah dengan dia, yang kita rasa dia baik dengan kita, rupanya kita kena “baik- baik” dengan orang macam ini.
“Hati orang kita tidak tahu bukan. Semoga manusia macam ini Allah bagi dia hidayah supaya dia tidak dianggap sampah, Allahuakhbar,” ujarnya di Instagram.
Dalam ciapan Diva AA itu, dia mengecam Che Ta yang melaram ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) pada Rabu lalu.
Menjengah ruangan komen, majoriti menganggap Diva AA mempunyai masalah gangguan mental dan sekadar mencari publisiti murahan.
“Allahu… mental ini kami rasa hangpa (awak). Ramai mental sekarang tapi depa (mereka) tidak makan ubat,” komen Rosixomar.
“Dia berani di media sosial saja hangpa. Cuba hang pergi ajak jumpa, hilang teloq (telur) dia terus,” komen seloroh pelakon Didie Alias.