PUTRAJAYA: Sebagai salah satu usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan, Kementerian Kewangan menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Belanjawan 2022 iaitu yang pertama dalam sejarah negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutama dalam kalangan pelabur.
Kata beliau, melalui penerbitan KPB, rakyat berpeluang meneliti beberapa penanda aras termasuk tinjauan ekonomi berdasarkan kepada senario ekonomi global, semakan ke atas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar dan unjuran ekonomi bagi tahun 2022 serta sasaran fiskal untuk 2021/2022.
Selain itu, katanya, status prestasi hasil percukaian dan inisiatif cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 juga boleh diteliti dan pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2021.
“Dokumen KPB meliputi pengurusan ketirisan hasil, komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa serta strategi meningkatkan hasil dan memantapkan sistem percukaian dan status perbelanjaan 2021 serta faktor-faktor dalam mengoptimum dan mengawal perbelanjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, KPB juga memberi gambaran awal berhubung hala tuju, pendekatan diambil serta manfaat bakal dinikmati daripada Bajet 2022 yang dirangka berdasarkan tiga matlamat.
Katanya, matlamat pertama adalah melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian, iaitu Bajet 2022 akan meneruskan usaha pemulihan dalam memastikan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 serta meneruskan agenda memulih kehidupan dan sektor ekonomi terjejas pasca-pandemik.
Jelas beliau, usaha juga akan digembleng bagi membantu golongan rentan dan mencipta peluang pekerjaan baharu.
Matlamat kedua pula adalah, kata beliau, membina semula daya ketahanan negara, iaitu Bajet 2022 akan memberi penekanan kepada usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara.
Ini termasuk mempertingkat infrastruktur digital dan teknologi terutama dalam sektor pendidikan dan menyediakan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.
“Matlamat ketiga ialah memangkin pembaharuan: Bajet 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberi penumpuan kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), RMKe-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Kementerian Kewangan yakin bahawa penerbitan KPB akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE