KUALA LUMPUR: “Seorang demi seorang, kita juga tidak lama. Rela mati awal dari kemudian,”.
Itu kata pelakon Harris Annuar yang melihat kebaikan pandemik Corona-19 ini sebenarnya membawa hikmah teguran Allah SWT pada diri setiap muslimin.
Katanya ketika dihubungi, pelakon Lelaki Kiriman Tuhan ini meluahkan, saban hari ada saja berita sedih pemergian rakan dan ahli keluarga terdekat menghadap Ilahi.
“Dengan ujian yang kita hadapi ini, masing-masing mendekatkan diri dengan agama, Alhamdulillah. Cuma takut kemungkinan akan alpa bila Covid-19 ini sudah tiada.
“Pada masa sama saya juga sedang berusaha menjaga aurat, mencabar juga tapi saya usaha,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Selasa lalu, emosinya sedikit runtuh dengan perkhabaran berita kawannya meninggal dunia dan lebih terkesan dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
“Hari ini (Rabu) saya terima berita kawan meninggal dunia, sehari selepas arwah kak Siti Sarah pergi. Dengan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 juga semakin membimbangkan, perasaan saya jadi bercampur aduk. Apa lagi statistik di Selangor semakin tinggi, sesiapa saja boleh terkena jangkitan.
“Kalau sebelum ini terasa seperti mendengar laporan berita saja, hari ini saya rasa setiap daripada rakan-rakan pasti ada ahli anggota keluarga terdekat yang pergi menghadap Ilahi kerana dijangkiti wabak itu,” ujarnya yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.