PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan digesa menangguhkan terlebih dahulu sesi pembukaan sekolah pada 1 September dan memfokuskan terhadap usaha membangunkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara yang komprehensif untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen pada September nanti.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelan itu akan menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan pihak kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang ‘rosak teruk’ akibat pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu.
“Sekolah hanya boleh dibuka semula setelah Pelan Pemulihan Pendidikan Negara diluluskan oleh Parlimen. Ia juga akan diselaraskan dengan Belanjawan 2022 untuk sektor pendidikan yang juga akan dibentangkan di Parlimen.
“Tanpa pelan yang diluluskan oleh Parlimen, pembukaan semula sekolah adalah tindakan yang tidak memberikan kesan positif yang menyeluruh kepada proses pendidikan khususnya di dalam usaha memulihkan kembali keciciran pembelajaran di kalangan pelajar dan murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.
Dalam pada itu, Anuar menegaskan antara satu agenda yang penting di dalam pelan itu ialah menguruskan keciciran pembelajaran telah dialami oleh murid dan pelajar sejak dua tahun lalu khususnya di tahap satu sekolah rendah serta di kelas peralihan sekolah menengah.
Katanya lagi, pihak kementerian juga perlu menyediakan program khas untuk membantu murid-murid ‘rentan pendidikan’ khususnya murid-murid dari keluarga miskin dan B40.
“Kementerian Pendidikan mesti memulakan program pembelajaran hibrid sebagai agenda utama penambahbaikan di dalam Pelan Pemulihan Pendidikan Negara dengan menambah baik akses Internet di seluruh negara dan segerakan pemilikan peranti di kalangan murid-murid.
“Malah perkenalkan secara meluas kemahiran pedagogi digital seperti sibergogi, heutagogi dan gamifikasi kepada guru-guru untuk menjayakan pembelajaran hibrid.
“Kerajaan sepatutnya menjadikan tahun 2022 sebagai tahun Pemulihan Pendidikan Negara dengan menekankan agenda pemulihan keciciran pelajar dan murid, penambahbaikan infrastruktur dan sistem penyampaian pendidikan serta memperkenalkan amalan pengajaran dan pembelajaran hibrid secara menyeluruh pada semua,” katanya.
Beliau menjelaskan tiga agenda besar mesti dimasukkan iaitu memulihkan keciciran murid-murid, meningkatkan pendigitalan pendidikan dan mengubahsuai dan menambah prasarana dan infrastruktur pendidikan di sekolah.
“Begitu juga dengan semakan kurikulum yang sedia ada, misalnya, kurikulum dan amalan pembelajaran yang mementingkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan kebersihan perlu dijadikan salah satu program dalam agenda pemulihan pendidikan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE