Tanah perkuburan di KL masih mampu tampung jenazah - Utusan Malaysia

Tanah perkuburan di KL masih mampu tampung jenazah

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (kiri) meninjau kerja-kerja penggalian kubur di TPIRS Taman Selaseh, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tanah-tanah perkuburan di bawah kariah masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih boleh menampung keperluan pengkebumian jenazah, buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran di Facebook, hari ini selepas meninjau Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) Taman Selaseh, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Semasa lawatan itu, Zulkifli berkesempatan melihat kerja-kerja penggalian kubur dilakukan oleh Tokoh Barisan Hadapan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan, Roslee Ali dan rakan-rakannya.

Zulkifli berkata, buat masa ini, 21 tanah perkuburan di bawah kariah masjid itu masih mempunyai baki 6,000 slot.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga bercadang membangunkan tanah perkuburan Islam baharu di Bukit Jalil bagi menampung keperluan sedia ada.

“Kawasan seluas kira-kira 4.04 hektar tanah kubur ditambah di Bukit Jalil selain melihat tanah-tanah lain yang boleh diwakafkan atau dikhaskan bagi tujuan tanah perkuburan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, buat masa ini, empat tanah perkuburan dikhususkan bagi menampung jenazah di Kuala Lumpur iaitu TPIRS Bukit Kiara yang boleh menampung 4,000 slot, TPIRS Taman Selaseh (8,000 slot), TPIRS Kepong (5,000 slot) dan TPIRS Bukit Jalil (1,000 slot).

Menurutnya, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan telah membuat ketetapan jenazah yang meninggal kerana Covid-19 di Kuala Lumpur hanya akan dikebumikan di TPIRS Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara.

“Manakala di Putrajaya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang kini mempunyai lebih 3,000 slot.

“Selain itu, pengkebumian di tanah perkuburan kariah masjid pula bergantung kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya