KUALA LUMPUR: “Ada… sebab kita ini perempuan, pelbagai emosi dan sukar nak kawal,”.
Itu reaksi pelakon dan pengacara, Nabila Huda, 36, apabila ditanya oleh pengikutnya di Instagram tentang tekanan dalam hidup kerana dia dilihat sentiasa tenang.
Jelas pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Abil, mendidik diri dengan cara bersyukur, mampu membuatkan hati berasa lapang daripada memikirkan kemelut yang menghimpit seharian hidup.
“Pejam mata, tarik nafas, hembus dan pada masa sama senyum seikhlas hati sambil berterima kasih kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan.
“Pada Abil bila kita senyum dan ketawa, masalah terasa hilang dan seakan-akan selesai. Masalah itu akan selesai, cuma bila dan bagaimana kita tidak tahu.
“Apa yang penting sekarang ini, takkan kita nak murung setiap masa? Jadi cuba praktikan apa yang Abil buat, percayalah,” ujarnya di Instagram.
Kata pelakon filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu, dia sudah mengamalkan gaya hidup bebas tekanan sejak dari dulu lagi dan bukannya disebabkan sudah mula mengaji dan ke kelas agama.
“Setiap orang ada bahagian masalah dengan cara yang berbeza. Abil sudah lalui pelbagai masalah dalam hidup, kalau diimbas semula satu kenangan untuk diri sendiri (tersenyum).
“Abil tidak pernah membenci masalah yang datang kerana percaya setiap perkara akan mematangkan diri. Jadi sentiasalah bersyukurlah kerana hidup terlalu singkat untuk terlalu banyak berfikir, kita kena gembira okay,” tambah Abil.