JAKARTA: Pelakon manis, Amanda Manopo, 21, mengakui, seperti orang lain, penularan Covid-19 banyak mengubah corak kehidupannya lebih-lebih lagi cara mendapatkan keperluan untuk kegunaan harian.
Memetik laporan Liputan6, Amanda berkata kini dia banyak duduk di rumah dan lebih memanfaatkan platform dalam talian bagi mendapatkan keperluan harian.
“Seperti yang diketahui, keperluan isi rumah bukan sedikit dan perlu dipenuhi setiap bulan.
“Di tengah pandemik Covid-19 ketika ini, berbelanja secara dalam talian menjadi alternatif utama untuk memenuhi keperluan tanpa perlu keluar rumah,” katanya.
Kata Amanda lagi, dia selesa berbelanja secara dalam talian kerana platform berkenaan lebih pantas dan mudah diakses.
“Bukan sahaja akses yang mudah dan pantas, malah rangkaian promosi yang menguntungkan pengguna juga banyak ditawarkan,” ujarnya lagi.