KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan permohonan agar kes-kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk perbicaraan.
Permohonan tersebut melibatkan kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan di Johor Bahru, Johor.
Ahli Parlimen Muar itu selaku pemohon memfailkan notis permohonannya pada 19 Ogos lalu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Haijan Omar & Co. dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Peguam Haijan Omar memberitahu pihak media, permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas, Rabu ini.
Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan atas alasan terdapat isu-isu perlembagaan yang lebih sesuai untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Dalam permohonan itu, Syed Saddiq turut memohon perintah agar perbicaraan di kedua-dua Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada 22 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta, tahun lalu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral di sini pada 6 Mac 2020.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.
Beliau didakwa berbuat demikian antara 8 April 2018 sehingga 21 April 2018 di Maybank Islamic Berhad yang beralamat di No 16 & 16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini.
Pada 5 Ogos lalu, Ahli Parlimen Muar itu didakwa pula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Islamic Berhad Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.