Syarikat Tiga Budak Gemok saman tiga pihak - Utusan Malaysia

Syarikat Tiga Budak Gemok saman tiga pihak

LOGO syarikat Tiga Budak Gemok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat Tiga Budak Gemok Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap seorang individu dan dua syarikat atas dakwaan mewujudkan kekeliruan (pengelirupaan) dan perlanggaran hak cipta serta pendaftaran salah cap dagangan perniagaan makanan yang diusahakannya.

Syarikat itu yang merupakan pemilik restoran terkenal ‘Tiga Budak Gemok’ (plaintif) menamakan tiga defendan iaitu Mohd. Anil Ali Mohamad serta Maam Baraka Venture Sdn. Bhd. miliknya dan Day Food Industry Sdn. Bhd., masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Writ saman tersebut difailkan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Julai lalu. Saman itu bagaimanapun belum diserahkan kepada pihak defendan.

Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili plaintif pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian hari ini menyatakan, pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 28 Ogos ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan, syarikat itu dimiliki oleh tiga pengarah yang juga adik-beradik selaku pemegang saham iaitu Natasha Helwa Ramlee, Muhammad Rafeel dan Natalia.

Menu utama adalah sambal kicap yang merupakan resipi turun-temurun Marina Mustapha (ibu adik-beradik tersebut). Natasha dan Rafeel kemudian mengambil keputusan memulakan perniagaan sekitar 2017 dan mula mendapat perhatian ramai menyebabkan mereka menubuhkan syarikat.

Tiga beradik itu selaku pengasas perniagaan kemudian menyerahkan hak cipta ‘Tiga Budak Gemok’ kepada plaintif untuk tujuan perniagaan dan kini mempunyai 13 cawangan restoran antaranya di cawangan Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Baru Bangi dan Kota Damansara.

Menurut pernyataan itu, plaintif menggunakan logo berbentuk tulisan ‘3budakgemok’ dan slogan ‘Ayam Kicap Sambal Power’ untuk tujuan perniagaan sejak 2017 sebelum menggunakan logo baharu dengan mengekalkan penjenamaan produk iaitu ‘Tiga Budak Gemok’.

Pernyataan itu menyebut, defendan pertama yang ketika itu merupakan suami Natasha telah memulakan perniagaan Tiga Budak Gemok di cawangan Sri Hartamas sebelum ditutup akibat pertikaian keluarga. Natasha memfailkan tuntutan penceraian pada 3 April 2019.

Defendan pertama kemudian mengendalikan cawangan ‘Tiga Budak Gemok’ di Bangi Square sebelum membuka perniagaan sendiri di bawah jenama ‘3bg’ atau ‘3bg Ayam Kicap Sambal Power’.

Lanjutan itu, banyak cawangan ‘3bg’ dibuka dan giat dipromosikan di media sosial termasuk di Ampang, Balakong, Batu Caves dan Bukit Jalil.

Lebih mengejutkan, perniagaan 3bg meniagakan menu makanan sama dengan Tiga Budak Gemok iaitu nasi putih ayam sambal kicap dan masih menggunakan logo plaintif di beberapa cawangannya.

Menurut pernyataan itu, logo plaintif dan logo defendan terdapat persamaan dan pengelirupaan yang jelas menyebabkan berlaku perlanggaran hak cipta kerana plaintif tidak pernah menyerah hak kepada defendan untuk mengguna pakai hak ciptanya.

Plaintif menyatakan, pendaftaran cap dagangan salah dengan meniru ‘Tiga Budak Gemok’ berniat memberi gambaran yang salah dan menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai untuk beranggapan bahawa ‘3bg Ayam Kicap Sambal Power’ adalah milik defendan pertama dan disahkan oleh plaintif.

Dalam pada itu, Pengurus Operasi plaintif, Khairul Anuar Abu Bakar pada sidang akhbar itu turut berkata, syarikat tiada masalah jika mana-mana pihak berhajat menjual menu ayam kicap sambal namun perniagaan itu tidak boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang awam.

“Ia akan menimbulkan kekeliruan atau representasi bahawa 3bg adalah seperti penjenamaan semula perniagaan Tiga Budak Gemok sedangkan hingga kini perniagaan plaintif masih beroperasi,” jelasnya.

Plaintif memplidkan bahawa perkhidmatan dan rasa masakan 3bg telah menyebabkan reputasi plaintif dan perniagaan Tiga Budak Gemok turut tercalar kerana orang awam berfikiran dan percaya bahawa 3bg dan Tiga Budak Gemok adalah perniagaan yang sama.

Plaintif seterusnya memplidkan bahawa defendan-defendan telah melakukan gangguan secara salah dalam perniagaan terhadap cap dagangan plaintif dan perlanggaran hak cipta dengan membuka perniagaan 3bg yang serupa dengan perniagaan Tiga Budak Gemok.

Plaintif menyatakan ia mengalami kerugian serius dan kerosakan yang tidak dapat dibaik pulih melainkan mahkamah menghalang defendan-defendan meneruskan perlanggaran tersebut.

Oleh yang demikian, plaintif memohon deklarasi bahawa ia pemilik hak cipta bagi cap dagang ‘Tiga Budak Gemok’ dan hak cipta ‘Tiga Budak Gemok’ serta cap dagang ‘Tiga Budak Gemok Ayam Kicap Sambal Power’ dan hak ciptanya.

Plaintif turut memohon perintah injunksi tetap untuk menghalang dan melarang defendan-defendan mengelirupa atau cuba mengelirupa barangan dan perniagaan mereka sebagai barangan dan perniagaan plaintif.

Plaintif turut memohon satu siasatan untuk ganti rugi ditaksir ekoran ganggutan perdagangan yang menyalahi undang-undang serta ganti rugi teladan atau keterlaluan serta kos dan faedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN