PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbangga dengan pencapaian menakjubkan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin sekali gus menyumbangkan pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata, seluruh peminat sukan tanah air pastinya sedang meraikan kejayaan Malaysia menerusi atlet paralimpik negara.
“Keupayaan melakukan angkatan menakjubkan sehingga lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang di arena membuktikan anda sememangnya layak dipertaruhkan sebagai antara prospek utama memenangi pingat emas pada edisi kali ini.
“Aksi mengagumkan sehingga memecahkan rekod Paralimpik pastinya akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sukan negara. Tahniah buat Bonnie, barisan kejurulatihan serta seluruh kontinjen Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Bonnie Bunyau merangkul kejayaan dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) dan berjaya melakukan angkatan seberat 228kg sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.
Bonnie cuba memecahkan rekod dunia dengan melakukan angkatan seberat 231kg tetapi tidak berjaya.
Dia sebelum ini memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.
Keputusan itu meyaksikan dia berjaya mengatasi pencabarnya dari Mesir, Mahmoud Attia yang melakukan angkatan 191kg untuk pingat perak.
Pingat gangsa menjadi milik Mickey Yule dari Great Britain selepas melakukan angkatan seberat 182kg.