Suspek kes bunuh isteri didakwa di hospital - Utusan Malaysia

Suspek kes bunuh isteri didakwa di hospital

PENDAKWAAN terhadap seorang lelaki yang dituduh membunuh isterinya dilakukan di HRPB di Ipoh, Perak,  hari ini  disebabkan suspek menerima rawatan masalah radang usus. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun didakwa hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa dalam kejadian di Gopeng, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Lim Hon Koi dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berikutan Hon Koi sedang menerima rawatan di hospital berkenaan kerana mengalami masalah radang usus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu telah menyebabkan kematian mangsa di dalam bilik tingkat bawah di Taman Desa Cahaya dekat Gopeng, antara pukul 8 malam pada 8 Ogos hingga 7.30 pagi, 9 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Nur Faizah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.

Media pada 9 Ogos lalu melaporkan, seorang wanita warga emas berusia 74 tahun ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil di bilik bawah sebuah rumah dua tingkat di mana terdapat kesan kelar di leher mangsa.

Turut ditemukan di sebelah mayat mangsa, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya