Suri rumah hasut, hina Yang di-Pertuan Agong kena denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Suri rumah hasut, hina Yang di-Pertuan Agong kena denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dikenakan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan memuat naik perkataan jelik yang menghina Yang di-Pertuan Agong, menteri dan institusi raja dalam laman sosial Twitter.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas wanita itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan.

Pertuduhan pertama mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 manakala pertuduhan kedua denda RM8,000.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu dia boleh dipenjara selama sembilan bulan dan difahamkan wanita tersebut membayarnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didapati mengeluarkan kenyataan melalui akaun Twitter atas nama ‘Eija boo’ dengan menyebut kata-kata menghasut yang mana kata-kata itu mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 8.33 malam pada 22 Mei lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi sama yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hari orang lain melalui perkhidmatan laman sosial serupa.

Hantaran itu dibuat pada tarikh sama yang kemudian dibaca pada 10 Jun lalu pukul 8 malam di pejabat  Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum selain menyesal dengan tindakannya.

“Saya mengaku salah, menyesal dan insaf. Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya sebak.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh, malah masyarakat lain bahawa tindakan menghina institusi raja satu kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya