KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Wanns Ahmad, 31, mengaku cuma bergurau ketika memuat naik dan berkongsi sekeping ‘surat cinta’ yang ditulis oleh seseorang yang tidak dikenali menerusi akaun Instagramnya baru-baru ini.
Menurut Wanns, dia bagaimanapun tidak menyangka ada yang percaya dengan kehadiran surat cinta tersebut sedangkan perkara tersebut cuma satu gurauan.
“Surat itu bukan saya punya pun. Tiada siapa berikan saya surat cintalah. Saja saya muat naik di Instagram sebab nak bergurau dengan pengikut dan peminat. Buat kapsyen yang menarik sikit, saja main-main.
“Saya saja nak tengok peminat dan pengikut boleh teka tak tulisan pada surat tersebut sebab tulisannya sangat rumit,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Selain itu, kata Wanns, dia yakin peminat dan pengikut yang sudah lama mengikutinya di media sosial pasti akan tahu caranya bergurau dan berinteraksi.
Sementara itu, berkongsi mengenai aktiviti sepanjang akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wanns mengaku enggan terus berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa bagi memastikan sumber pendapatan tidak terus menyusut.
“Saya macam orang lain juga. Kena terus bangkit dalam erti survival setiap hari dan setiap bulan memandangkan sudah hampir empat bulan kita semua terpaksa berkurung di rumah.
“Macam mana sekali pun kena berusaha juga cari pendapatan sebab itulah saya ada berniaga sikit-sikit sementara dibenarkan kembali ke set penggambaran atau kerja semula macam biasa.
“Rindu juga nak kembali ke set tetapi kita tahu semua yang terjadi sekarang sudah ditentukan oleh Allh SWT. Jadi kita berserah sahajalah bulat-bulat kepada-Nya,”katanya.
Menurut Wanss lagi, dia juga bersyukur kerana sebelum PKP tempoh hari, ada beberapa label syarikat rakaman ingin menyuntingnya sebagai artis naungan mereka dalam ruang penjenamaan semula.
Bagaimanapun, perkara tersebut terpaksa ditolak secara baik oleh pihak Wanns memandangkan dia lebih selesa untuk tidak terikat dengan mana-mana kontrak syarikat rakaman.
“Tetapi sebenarnya, ada juga satu dua buah lagu yang saya hasilkan bersama seorang rakan sepanjang PKP ini dan niatnya mahu dilancarkan secara sendiri sahaja.
“Kami mungkin akan bawa lagu-lagu itu kepada syarikat rakaman untuk tandatangan kontrak lagu sahaja, bukan sebagai artis rakaman. Namun, semua itu atas rezeki juga, tengok macam mana.
“Tengok pada situasi. Saya ramalkan mungkin ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Mungkin hujung tahun atau awal tahun hadapan. Doakan saya ya,”katanya.
Dalam pada itu, Wanns juga mendoaka agar mana-mana individu yang terjejas akibat pandemik ini untuk terus dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan urusan serta terhindar daripada sebarang fitnah akhir zaman.