PUTRAJAYA: Seorang bekas pemotong rumput diperintah menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dikenakan empat sebatan bagi dua kesalahan sumbang mahram terhadap anak saudara berusia 16 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Hukuman sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil selepas membenarkan sebahagian rayuan lelaki itu terhadap hukuman.
Nama lelaki berusia 43 tahun itu tidak didedahkan bertujuan melindungi identiti mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Supang Lian dan Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali mengekalkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap kesalahan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Bagaimananapun, panel itu mengurangkan jumlah sebatan daripada 10 kali kepada empat kali iaitu dua sebatan bagi setiap kesalahan.
Hakim Abdul Jalil ketika menyampaikan keputusannya berkata, perbuatan perayu melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya adalah tidak wajar kerana mangsa merupakan seorang remaja OKU.
“Mangsa sepatutnya dilindungi tetapi kamu selaku bapa saudara mengambil kesempatan terhadapnya dan bertindak buas tanpa perikemanusiaan,” ujar Hakim Abdul Karim.
Beliau turut menegur perayu yang telah beristeri dan mempunyai keluarga namun faktor tersebut tidak sesuai menjadi alasan untuk meringankan hukuman.
Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 21 Mei 2019, perayu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di antara pukul 2 petang, 2 Mei 2019 dan 6 petang, 5 Mei 2019 di rumahnya di Besut, Terengganu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi setiap tuduhan manakala hukuman penjara berjalan secara berasingan. Rayuannya di Mahkamah Tinggi ditolak.
Fakta kes menyatakan, mangsa mendedahkan kejadian sumbang mahram itu kepada gurunya di sekolah selepas guru berkenaan menyedari perubahan tingkah lakunya.
Guru itu kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan lelaki tersebut.
Perayu diwakili oleh peguam Izleen Ismail manakala Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd. Rashid mewakili pihak pendakwaan. – UTUSAN ONLINE