PUTRAJAYA: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah perlu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membuktikan kes samannya terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberi keterangan dalam kes saman tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Lee Heng Cheong sebulat suara membenarkan rayuan ketiga-tiga pihak.
Mahkamah berpuas hati bahawa saman tersebut perlu didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh, bukan menerusi penentuan persoalan undang-undang.
Sebelum itu, panel berkenaan mendengar penghujahan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili perayu-perayu manakala Vishnu Kumar mewakili Sultanah Nur Zahirah.
Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay memberitahu, pihaknya akan mengemukakan permohonan agar Sultanah Nur Zahirah memberi keterangan melalui sidang video atas faktor keselamatan.
Pengurusan kes ditetapkan Khamis ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga pihak merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Disember 2019 yang membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes saman itu diputuskan melalui isu undang-undang.
Saman fitnah tersebut difailkan terhadap Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. pada November 2018.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown, membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.
Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.