Sultan Selangor seru mahkamah percepat bicara kes rasuah - Utusan Malaysia

Sultan Selangor seru mahkamah percepat bicara kes rasuah

SULTAN Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Tengku Amir Shah (kanan) berkenan menerima menghadap Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru mahkamah supaya mempercepatkan perbicaraan kes rasuah dan tidak melayani penangguhan tanpa alasan yang kukuh.

Baginda bertitah, rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.

“Beta berharap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dapat melakukan siasatan telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

“Beta turut menyasarkan gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan dan merosakkan masyarakat,” titahnya dalam Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada pertemuan selama dua jam itu, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan kes rasuah di negara ini terutama Selangor.

Bulan lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya kurniaan Darjah, Bintang Kebesaran serta Pingat negeri bagi pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati melakukan kesalahan rasuah akan ditarik balik.

Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Terdahulu, SPRM menahan dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Kedua-dua YDP tersebut yang kini memegang jawatan Pegawai Daerah (DO) berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya