Sultan Kedah dukacita kes Covid-19 tinggi - Utusan Malaysia

Sultan Kedah dukacita kes Covid-19 tinggi

SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini menzahirkan dukacita terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang kekal empat angka setiap hari sejak sebulan lalu.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan hari ini melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din, baginda bertegas agar kerajaan memberi pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak.

“Sehingga 16 Ogos (semalam) kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri ini berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos baru mencecah 31.8 peratus.

“Mereka yang memperoleh satu dos adalah sebanyak 55 peratus. Ini menunjukkan sekiranya suatu langkah yang tidak serius diambil Kedah mungkin lewat mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan harus beri pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi memandangkan hanya kaedah berkenaan dilihat berkesan mengawal kadar jangkitan,” titah Sultan Kedah.

Sehubungan dengan itu, baginda menyeru agar hospital swasta, klinik perubatan am serta seluruh badan korporat dan swasta turut serta berganding bahu memberi sokongan, bantuan dan sumbangan yang sesuai dengan fungsi, peranan dan kemampuan masing-masing bagi memangkin peningkatan kadar vaksinasi.

“Baginda juga bertitah agar vaksin dapat dibekalkan dengan jumlah yang lebih banyak oleh kerajaan Persekutuan agar Kedah dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih awal serta sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan lebih cepat,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital dan pusat vaksin Covid-19 di seluruh Kedah yang bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Baginda berbangga dengan kegigihan mereka yang menjalankan tugas tanpa penat dan lelah serta mendoakan agar pengorbanan mereka ini mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Tuhan.

“Di samping itu baginda Sultan turut bertitah agar semua rakyat Kedah menjaga diri dan keluarga masing-masing supaya terhindar daripada dijangkiti Covid-19.

“Sentiasalah mengamalkan prosedur operasi standard dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari masa ke semasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya