PETALING JAYA: Pemenang pingat emas edisi lalu, Ridzuan Puzi bakal berdepan cabaran getir dalam usaha mempertahankan kedudukannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ridzuan atau lebih mesra dengan panggilan Dikwan akan bertanding dalam acara 100m kategori T36 namun dilihat sukar untuk mempertahankan pingat emas ekoran usianya yang semakin bertambah.
Bagaimanapun, jurulatih negara, R. Jeganathan percaya atlet kelahiran Perlis itu mampu menyumbangkan pingat buat Malaysia.
“Untuk mengulangi pencapaian tiga emas dari olahraga di Paralimpik nanti itu adalah satu tugas yang berat.
“Tapi kami dalam sukan olahraga para akan berusaha untuk bawa pulang tiga pingat namun saya tidak berani janji ia adalah pingat emas.
“Untuk Latif (Romly) dan Ziyad (Zolkefli) mungkin tiada ada masalah untuk pertahankan pingat emas tapi untuk Ridzuan susah sikit sebab perlu diingat dia sudah berusia 35 tahun dan perlu berlawan dengan pemegang rekod dunia dari Australia (James Turner),” katanya.
Ridzuan meraih gangsa di Kejohanan Dunia 2019 di Dubai apabila tewas kepada Turner yang merangkul emas dengan catatan rekod baru dunia 11.72 saat (s) dan pelari China, Yifei Yang perak, 11.79s.
Bagaimanapun Jeganathan berkata, semangat Ridzuan cukup tinggi dengan atlet itu bersedia untuk memberi yang terbaik dan kini bebas daripada sebarang kecederaan menjelang Paralimpik Tokyo nanti.
Cabaran skuad olahraga negara akan digalas oleh Ziyad (lontar peluru – F20), Latif (lompat jauh – T20), Wong Kar Gee (lompat jauh – T13) dan Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin (400m – T20).