Suara Penggiat Seni: Sektor lain dibuka, sektor seni di anak tiri? - Utusan Malaysia

Suara Penggiat Seni: Sektor lain dibuka, sektor seni di anak tiri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEAKAN ada yang tidak kena apa­­bila melihat kepada situasi apabila sektor perfileman dan penggambaran masih sunyi daripada segala riuh pikuk kesibukannya.

Maklumlah, kalau dibandingkan dengan sektor lain, banyak yang sudah dibuka dan diberi kelonggarannya untuk beroperasi walaupun kes Covid-19 tidak mencatatkan penurunan lega.

Setelah beberapa kali terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan beroperasi bagi membendung penularan wabak, ramai penggiat seni di depan mahupun di bekalang tabir terjejas teruk dengan ada antaranya sudah mati akal bagaimana mahu meneruskan hidup.

Meski sinar harapan pernah diberikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) sebelum ini, namun kelonggaran itu cuma dibuka kepada mana-mana produksi yang perlu menyambung jadual penggambaran yang tertangguh sahaja.

Ia tidak melibatkan semua produksi dan itu membuatkan nasib penggiat seni yang lain masih samar. Sudahlah tiada kerja, bagaimana pula nak menyuap makanan di mulut anak, isteri dan keluarga?
Pancaindera mendapatkan pandangan dan luahan beberapa penggiat seni kreatif mengenai isu ini.

Kami perlu bernafas semula – Jasmin Hamid

Pelakon terkenal, Jasmin Hamid meluahkan harapan kepada pihak kerajaan agar industri seni kreatif juga dibenarkan untuk meneruskan penggambaran serta dipandang seperti sektor-sektor lain
“Saya berharap sangat jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh memberi kelonggaran untuk meneruskan kembali penggambaran. Berilah pelepasan juga kepada kami.

“Kami pun ada periuk nasi juga. Nak diikutkan, SOP yang dikeluarkan FINAS lebih ketat berbanding sektor lain. Kenapa kami masih disekat?

“Tolonglah beri kelonggaran kepada kami, industri seni kreatif ini untuk bernafas semula. Masalahnya bukan tiada kerja, kita ada kerja tetapi tidak boleh nak melakukannya dan masih disekat,” katanya.

Mengulas lanjut, dia turut menegaskan kepada pihak kerajaan agar memberi kelonggaran terhadap industri seni kerana ramai golongan artis terkesan ekoran pelaksanaan PPN Fasa 1 yang sudah beberapa bulan ini.

“Kami kini masih menunggu kebenaran daripada MKN, tetapi masalahnya poket kami makin lama makin nipis, kereta dan rumah nak berbayar serta segala bil pun perlu dilunaskan,” katanya.

Jika tak dibuka, lebih ramai akan tersepit – Hans Isaac

Datuk Hans Isaac pula menyarankan agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membuka semula industri perfileman dengan segera untuk memastikan ia tidak terus mati.

Hans berkata, perkara itu penting untuk membantu penggiat seni yang terbeban kerana hilang punca pendapatan dan menanggung kerugian akibat sekatan yang dibuat terhadap aktiviti penggambaran.

“Jika industri tidak dibuka nescaya lebih ramai yang akan tersepit dan kemungkinan jatuh muflis.

Tambahan pula penggiat seni tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keadaan ini menjadikan mereka lebih terbeban ketika pandemik,” katanya.

Selain itu, Hans berkata penggiat seni tidak boleh terus mengharapkan bantuan dana memandangkan jumlah yang disalurkan tidak cukup untuk menampung penggiat seni yang ramai.

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Saya kasihan dengan para penggiat (seni) termasuk kru dan juru solek artis yang ramai antara mereka, hilang punca pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hans juga mencadangkan agar kerajaan merujuk dan mempelajari negara-negara lain tentang SOP yang mereka laksanakan dalam membenarkan industri perfileman dan pembikinan drama untuk beroperasi.

“Kerajaan perlu belajar daripada negara-negara lain seperti Australia dan New Zealand yang sebelum ini telah pun membenarkan industri (seni) mereka beroperasi sepenuhnya.

“Belajar cara mereka, tiru dan laksanakan sahaja kerana mereka sudah pun berjaya,” ujarnya.

Kami berdisiplin, sepatutnya boleh bekerja – Namron

Juga merasakan tidak wajar apabila melihat sektor perfileman dan penggambaran seakan dianaktirikan, pelakon berbakat besar, Namron, percaya tidak ada salahnya jika mereka yang telah mendapat suntikan dua dos vaksin diberi peluang untuk kembali bekerja ke set.

Kata Namron, sudah terlalu lama industri ini suram kerana tidak dibenarkan beroperasi sedangkan pasar malam juga kini sudah dibenarkan untuk dibuka.

Baginya, asal berpegang kepada peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan, kebenaran untuk bekerja adalah wajar bagi penggiat seni di negara ini.

“Bagi kami sebagai ketua keluarga ini, kita nak cari makan untuk keluarga dan biasanya kami ini disiplin. Itu yang saya pegang dan selalu katakan. Setiap pelakon seharusnya ada sifat tanggungjawab ini.

“Lepas habis penggambaran jangan merayap, umpama habis kerja terus balik rumah. Kita semua dah dididik begitu. Satu sebab, pelakon ini, kalau terjadi sesuatu ketika dia berada di luar set penggambaran, ia akan mengganggu proses penggambaran secara keseluruhan.

“Kita pun tak nak bagi masalah pada sesiapa atau orang ramai,”katanya.

Selain itu,kata Namron,dia juga tidak melihat di mana pokok utamanya jika andaian mengenai wujud kluster penggambaran sekiranya artis kembali bekerja.

“Kami bukan ke set macam orang lain boleh pergi melepak.Kita semua setakat ini sangat-sangat menjaga bab SOP sebab kita tak nak jika berlaku perkara seperti itu, maka kerajaan tarik semula kebenaran operasi.

“Kita pun tak nak jadi tular. Saya berani cakap, setakat dua tahun kita berdepan dengan pandemik ini, tiada satu pun lagi kluster penggambaran wujud sebab kami masih menjaga aspek ini.

“Kita dah buktikan pun yang sektor ini tidak menyumbang kepada kluster itu.Jadi saya sangat kecewa bila masih belum ada sinar untuk kami semua kembali bekerja. Tak tahu nak salahkan siapa,”katanya.


Tidak adil, ini periuk nasi kami – Din Sani

Puji dan patuh pada inisiatif kerajaan untuk membendung penularan wabak berbahaya Covid-19. Bagaimanapun, menurut pengarah filem dan drama terkenal, Din Sani menyifatkan SOP bagi sektor kreatif tidak jelas.

“Hal ini sangatlah tidak adil bagi kami. Kita bercakap fasal rezeki dan periuk nasi. Bab aspek SOP, untuk penggambaran drama sahaja hanya boleh melibatkan kru tidak lebih 22 orang dan filem 32 orang, benda macam ini tidak boleh. Satu lagi, radius 10 kilometer yang kena pastikan tiada orang awam.

“Seterusnya aspek lokasi bagi menyambung baki penggambaran yang membabitkan lokasi sama sudah tidak boleh dilakukan jika dijalankan di negeri Fasa 1. Tapi dibenarkan ke lokasi negeri Fasa 2.
“Perkara itu pula akan menelan kos besar lagi. Takkan nak tukar dan olah skrip lagi?” jelasnya mengharapkan ada perubahan dan SOP dengan lebih jelas.

Dalam pada itu, Din melayangkan tanda tanya kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Ada kementerian tetapi sektor hiburan seperti bukan perkhidmatan perlu dan penting, ibaratnya dianak tirikan.

“Seolah-olah tidak bagi kami meneruskan aktiviti penggambaran. Sampai bila nak tahan punca rezeki kami yang bukan berpendapatan tetap ini?,” ujarnya bingung.

Susulan itu, katanya, penggiat seni mempunyai tanggungan hidup yang perlu dilunaskan dan andai pekerjaan lain perlu dilakukan, hal itu akan memakan masa dan masih tidak cukup untuk melunaskan perbelanjaan tetap.

“Kami bukan nak minta bantuan makanan bahkan berterima kasih dan bersyukur sangat-sangat. Cuma masing-masing ada perbelanjaan seperti bil api air dan rumah.

“Saya turut simpati dengan nasib rakan kru lain jika keadaan berterusan. Ada yang dihalau sebab tidak dapat bayar bil.

“Hendak buat pekerjaan lain sementara belum boleh bekerja, kalau hasilnya boleh bayar komitmen tidak mengapa. Pula kena ambil masa belajar pekerjaan baharu seperti menjadi dropship atau lain-lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya