PETALING JAYA: Percaya untuk melakukan perubahan menjadi sumber kekuatan bagi Stuart Ramalingam untuk menghadapi cabaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang baharu.
Stuart berkata, sudah tiba masanya beliau ‘menukar angin’ selepas tiga tahun bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia selaku Setiausaha Agung.
“Saya merupakan seorang yang sangat cintakan bola sepak, jadi atas sebab itu saya terima tugas ini.
“Saya ambil cabaran ini kerana percaya mampu untuk lakukan perubahan pada masa hadapan. Bagi saya, sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan.
“Malah, saya telah menerima tunjuk ajar serta asuhan daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, bagi membentuk saya selama ini,” katanya dalam sidang akhbar secara maya semalam.
Stuart dilantik sebagai CEO MFL baharu bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Ab. Ghani Hassan yang dipilih sebagai presiden bagi badan pengelola Liga Malaysia itu.
Mengulas berhubung kedudukannya di MFL dibayangi abangnya, Kevin Ramalingam yang pernah memegang jawatan tersebut, Stuart berkata, kedua-duanya mempunyai watak yang berbeza.
“Saya lihat Kevin sebagai bekas CEO tetapi kami adalah dua orang berbeza, tidak mungkin saya boleh ulang apa yang beliau lakukan.
“Memang saya tahu akan ada pandangan sebegini apabila saya terima tugas tersebut. Ketika saya masuk ke FAM pun, ramai yang mempertikaikan kemampuan saya tetapi saya berjaya buktikan.
“Saya tidak salahkan netizen kerana inilah bola sepak. Objektif sekarang adalah untuk buat yang terbaik demi bola sepak Malaysia,” ujarnya.