Solat Jumaat di Labuan dibenarkan, separuh kapasiti sebenar bermula esok - Jawi - Utusan Malaysia

Solat Jumaat di Labuan dibenarkan, separuh kapasiti sebenar bermula esok – Jawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan had jemaah bagi semua Masjid Zon, Masjid Kariah, surau Jumaat, dan Surau Diberi Kebenaran Khas di Labuan dibenarkan pada separuh kapasiti sebenar berkuat kuasa esok.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya turut menetapkan bilangan jemaah bagi solat fardu pula dibenarkan pada separuh kapasiti dewan solat utama.

Beliau berkata, ketetapan terbaharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta selaras dengan situasi terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa di Wilayah Persekutuan itu.

“Ketika ini, Labuan berada pada Fasa 3 PPN susulan situasi wabak Covid-19 yang semakin terkawal,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya turut membenarkan aktiviti kuliah dan tazkirah dengan kehadiran separuh kapasiti dewan solat utama dan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Sementara itu, Mohd. Ajib berkata, bilangan had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan PPN Fasa 1 seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya pula adalah kekal sebagaimana ketetapan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, tazkirah sebelum solat Jumaat pula dibenarkan tidak melebihi 30 minit.

“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan keutamaan kepada jemaah yang telah menerima vaksin lengkap.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya