PETALING JAYA: Sektor pelancongan seakan-akan diberi sinar cahaya dan dijangka bakal bernafas semula berikutan langkah kerajaan yang memberi kelonggaran kepada individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19.
Pembukaan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan rumah inap dan hotel yang telah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai satu usaha murni dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mendengar rintihan para pengusaha hotel yang terkesan teruk dengan penutupan premis perniagaan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Pengumuman itu yang kami nanti-nantikan selama ini. Sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal tahun lalu, para pengusaha hotel adalah antara perniagaan yang paling terjejas.
“Pengumuman itu seakan-akan memberi sinar cahaya untuk kami meneruskan misi untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menekankan, ahli-ahli MyBHA harus memastikan semua pekerja mereka terutama pekerja barisan hadapan sudah melengkapi dua dos vaksin Covid-19 dan ia mesti melepasi tempoh matang seperti yang dinyatakan dalam pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
Pihaknya turut berharap agar semua ahli-ahli akan memastikan setiap pengunjung dan pekerja mereka mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar wabak terbabit tidak merebak dengan lebih teruk.
Selepas lebih setahun berdepan pandemik Covid-19, sektor perhotelan negara semakin nazak apabila sekurang-kurangnya 120 buah hotel sudah ‘mati’, sama ada menutup operasi secara penuh atau sementara.
Itu kerana sektor perhotelan terus mencatatkan kerugian besar susulan sekatan perjalanan antara negara, negeri dan daerah.
Kerugian tahun ini dijangka lebih besar dan tinggi berbanding tahun lalu apabila setakat separuh tahun pertama 2021, kerugian industri hotel sudah mencecah RM5 bilion.
Manakala pada 2020, kadar kerugian hotel adalah sebanyak RM6.3 bilion untuk tempoh sepanjang tahun. – UTUSAN ONLINE