Siaran digital dipancarkan dari stesen Gunung Jerai kembali pulih - Utusan Malaysia

Siaran digital dipancarkan dari stesen Gunung Jerai kembali pulih

LIPUTAN stesen menara pemancar penyiaran digital di puncak Gunung Jerai turut menjangkau wilayah selatan Thailand. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jutaan pengguna sistem penyiaran digital di Kedah menarik nafas lega apabila stesen pemancar di Gunung Jerai kembali seperti sediakala lewat malam semalam.

MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. menerusi kenyataan ringkas memaklumkan, pemancar di puncak gunung tertinggi di negeri itu sudah berjaya dipulihkan semula.

“Anda dinasihatkan agar membuat penalaan semula kepada dekoder atau pun set televisyen digital integrasi bagi membolehkan sistem penerimaan siaran dapat dikemas kini,” katanya.

Gangguan melibatkan kesemua 18 saluran televisyen dan 14 saluran radio itu mula berlaku sejurus selepas fenomena kepala air yang amat luar biasa di gunung berkenaan petang Rabu lalu iaitu insiden bencana alam terburuk di negeri tersebut, turut mengakibatkan tanah runtuh sekitar menara pemancar Gunung Jerai.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting, Mazlan Mahdi mengesahkan kejadian itu menyebabkan bekalan kuasa terjejas dan melambatkan kerja pembaikan, namun memberi jaminan, usaha berterusan sedang giat dilakukan pelbagai agensi.

Bagaimanapun, pengguna sistem penyiaran terestrial digital MYTV Broadcasting di selatan negeri itu tiada masalah besar kerana masih ada liputan daripada pemancar di Pulau Pinang, begitu juga pengguna di Langkawi dan utara Kedah yang tidak mengalami isu itu kerana siaran dipancarkan terus dari stesen pemancar Gunung Raya.

Melalui hantaran dalam laman sesawang rasmi dan akaun media sosialnya, operator penyedia siaran digital itu turut memohon maaf atas segala kesulitan ketika berlaku gangguan siaran.

Stesen dimiliki Telekom Malaysia itu terletak di Jalan Persekutuan 274 bersebelahan puncak gunung serta makam ulama terkenal, Tok Sheikh pada ketinggian 1,219 meter dari paras laut dan lokasi stesen berkenaan terletak tidak jauh dari pusat peranginan tanah tinggi, Jerai Hill Resort yang juga teruk terjejas ekoran malapetaka itu selain mengorbankan seorang pekerjanya.

Ia mula beroperasi pada 1964 bagi liputan siaran televisyen tempatan di Kedah serta negeri jiran, sekali gus muncul menara keempat dibina di negara ini selepas stesen pemancar Gunung Ulu Kali, Bentong, Pahang; Gunung Ledang, Muar, Johor dan Gunung Kledang, Ipoh, Perak.

MYTV yang dijenamakan sebagai MyFreeview, dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan rakyat miskin dapat menikmati siaran digital percuma dengan anggaran 6.2 juta isi rumah B40 di seluruh negara sudah mendapat manfaat perkhidmatan itu sejak dilancarkan pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya